Di tepian jalan, semerbak bau dari longgokan raja buah.
Buah-buah durian tersusun elok. Dilonggok dan dikumpulkan. Ada dalam bakul, ada yang di luar atas tanah berselerakan.
"Berapa ni sekilo, bang?"
Seorang pakcik lingkungan umur lewat 50-an berhenti di gerai jualan buah durian. Dengan motosikal EX5 usangnya. Ada dua orang anaknya di belakang. Baru pulang dari sekolah gamaknya. Sekolah rendah.
"5 biji, RM20."
Pakcik tu nampak teragak-agak.
"Habis diskaun dah ke ni?" Pakcik tu bertanya lagi.
"Murah sangat dah ni bang. Mana nak dapat harga macam ni. Musang King kot. First class ni. Kalau abang tak percaya isi dia tip-top, abang boleh try."
Penjual durian itu bawa durian yang sudah dibukanya. Bagi pakcik tu rasa.
"Sedap dan lemak manis kan? Saya dah cakap dah bang. Hari ni, saya nak bagi RM50 dapat 12 biji durian yang besar-besar punya."
Mengangguk-angguk orang tua itu mengiyakan. Diunjukkan pada pakcik tu durian-durian yang bersaiz agak besar yang ada di situ.
"Abah, nak, nak. Belilah." Anak-anaknya merengek sedikit setelah teruja melihat isi durian yang menguning segar di hadapan mata.
"Sekejap ya." Pakcik itu ke belakang sedikit. Mengeluarkan dompetnya. Melihat isi di dalam. Kemudian, datang balik kepada penjual.
"Alahai, bawak RM40 je. Macam mana, boleh dapat tak?" Pakcik itu
"Bolehlah. Saya tolak dua biji." Peniaga itu bersetuju setelah berfikir seketika.
Pakcik tu terus membayar dan membawa balik separuh dulu dengan motosikalnya. Kemudian, dia datang lagi tanpa anaknya untuk bawa balik baki.
Di rumah, orang tua itu teruja sekali. Anak-anaknya yang tujuh orang mengerumuni duduk dalam bulatan. Isterinya juga ada bersama menanti.
"Lama kan kita tak makan durian. Ya Allah, alhamdulillah."
"Alhamdulillah. Gaji semalam dapat RM80 gaul simen di perumahan baru buat tu. Dapatlah beli. Rezeki anak-anaklah ni." Riang orang tua itu.
Dikopeknya durian-durian itu. Durian yang pertama, hanya satu ulas isi yang elok. Yang lain dah lemau, lembik berair. Durian kedua dan seterusnya pun sama.
Dari 10 biji, dapatlah 10-15 ulas lebih kurang yang elok.
"Penipulah orang yang jual tu kan abah!" Anak-anaknya sedikit tak puas hati.
"Tak mengapa. Ini saja rezeki kita Allah bagi hari ini. Syukur dapat rasa juga. Alhamdulillah banyak-banyak. Dia pun tak tahu kot isi dalam durian. Bukan dia ada mata x-ray boleh nampak isi dalam kan? He he." Pakcik tua itu berseloroh. Menyedapkan hati warga rumahnya.
"Yang tak boleh makan ni, abah gaul buat tempoyak. Buat cekodok durian. He he. Nak?"
"Nak!" Anak-anaknya riang kembali.
Di dapur, isterinya menitiskan air mata. Rasa teraniaya. Tak sanggup lihat air muka anak-anak mereka. Suaminya turut ke dapur. Menenangkan isterinya.
"Sabar, ada hikmahnya.."
***
Di rumah penjual durian.
"Nah, ni jualan hari ni. Untung besar meniaga hari ni. Beratus-ratus ringgit dapat hari ni. Dekat RM600 sehari. Kalau sebulan macam ni, boleh bayar muka kereta!"
Beriya-iya dirinya memberitahu isteri tercinta. Isterinya senyum. Sambil di tangannya mengetik skrin fon. Dengar tak dengar kata suaminya.
"Abang letihlah. Buatkan abang kopi, boleh?"
"Ala, abang ambillah air dalam peti ais tu. Ada banyak air kotak. Hari ni, saya pun letihlah kemas rumah." Masih lagi tangannya tidak lepas menghadap fon.
Suaminya sedikit panas hati. Pergi kepada isterinya. Dirampasnya fon si isteri.
Matanya terbeliak.
Dilihat di skrin fon isterinya, sedang bersayang-sayang dengan lelaki lain.
PANG!
Tamparan hinggap di pipi isterinya.
"Isteri tak guna! Aku keluar cari duit, cari rezeki halal untuk kau, kau buat taik belakang aku!"
Isterinya berdiri depan suaminya. Mengamuk sama.
"Rezeki halal konon! Ingat saya tak tahu, abang letak durian elok buat display. Durian merekah, durian lemau, durian tak elok masuk dalam guni customers!"
Maka, bergaduh sakanlah laki bini. Bertekak riuh gegak gempita. Rumahtangga yang selama ini bahagia, retak menanti belah bila-bila masa.
***
Pesan Nabi s.a.w. yang mafhumnya:
“Wahai umat manusia, bertakwalah engkau kepada Allah, dan tempuhlah jalan yang baik dalam mencari rezeki, kerana sesungguhnya tidaklah seorang hamba akan mati, hingga ia benar-benar telah mengenyam seluruh rezekinya, walaupun terlambat datangnya.
Maka bertakwalah kepada Allah, dan tempuhlah jalan yang baik dalam mencari rezeki. Tempuhlah jalan-jalan mencari rezeki yang halal dan tinggalkan yang haram.” (HR. Ibnu Majah no. 2144, sahih)
Rezeki yang sedikit, tapi halal dan bersih sumbernya bawa berkat ke dalam keluarga. Bahagia hati mereka yang berusaha untuk mendapatkan reda Allah semata.
Kekayaan dan kesenangan yang diperolehi dari sumber yang mempunyai tipu muslihat, helah dan riba, tidak membawa apa-apa makna. Ada segala, boleh beli semahunya, tetapi tiada ketenangan jiwa. Istidraj semata.
Saat kita menyangka tiada yang mengetahui, kita lupa Allah Maha Memerhati...
Waullahualam
Perkongsian dari FB Ust. Naim