Ada insan yang didoakan begitu ramai orang ketika kematiannya. Kadangkala kita berasa hairan bagaimana Allah ﷻ memuliakan seseorang itu. Ada yang dimuliakan ketika hayatnya, ada pula yang dimuliakan ketika wafatnya dan ada pula yang akan dimuliakan ketika di akhirat kelak. Ada alim ulama atau orang soleh yang dicemburui kematiannya dan ada pula yang tidak. Ada artis atau selebriti yang didoakan kebaikan oleh ramai manusia ketika mereka meninggal dunia dan ada pula yang tidak.
Demikianlah Allah ﷻ memuliakan hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh dalam pelbagai bentuk. Barangkali ada satu-dua amalan tersembunyi seseorang itu yang sangat dicintai oleh Allah ﷻ dan berhasil mendapat pengampunan-Nya walaupun zahir empunya diri kelihatan biasa-biasa.
Rasulullah ﷺ bersabda:
إِذَا أَحَبَّ اللَّهُ العَبْدَ نَادَى جِبريلَ: إنَّ اللَّهَ يُحبُّ فُلانًا فأحِبَّهُ، فَيُحِبُّهُ جِبريلُ، فَيُنادِي جِبريلُ في أَهلِ السَّماءِ: إنَّ اللَّهَ يُحِبُّ فُلانًا فأحبُّوهُ، فَيُنادي جِبريلُ في أَهلِ السَّماءِ: إنَّ اللَّهَ يُحِبُّ فُلانًا فأحبُّوهُ ، فَيُحبُّهُ أَهلُ السَّماءِ، ثُمَّ يوضَعُ لَه القَبولُ في أَهلِ الأرضِ
“Apabila Allah mencintai seseorang, Dia akan memanggil malaikat Jibril (lalu berfirman): Sesungguhnya Allah mencintai si fulan, maka hendaklah engkau mencintainya! Malaikat Jibril pun mencintai orang itu. Lalu malaikat Jibril menyeru pula penghuni langit: Sesungguhnya Allah Mencintai si fulan, hendaklah kalian mencintainya! Penghuni langit pun mencintainya. Kemudian orang itu pun diterima oleh penduduk di bumi”
[hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim].
Apa rahsia mendapat kecintaan Allah ﷻ?
Beriman & beramal soleh!
إِنَّ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ سَيَجۡعَلُ لَهُمُ ٱلرَّحۡمَـٰنُ وُدًّ۬ا
“Sesungguhnya orang yang beriman dan beramal soleh, Allah yang melimpah-limpah rahmatnya akan menanamkan dalam hati orang ramai perasaan kasih sayang terhadap mereka” [Maryam: 96].
Nukilan dari Dr. Kamilin Jamilin