Dalam entry hari ini, teman hendak memanjangkan perkongsian tentang membuat binaan di atas pusara. Apa hukumnya disisi Islam?
Hukum membuat binaan di atas kubur adalah tidak digalakkan. Ini berdasarkan larangan daripada Nabi S.A.W iaitu daripada Jabir bin Abdullah R.A katanya:
“Rasulullah SAW melarang daripada mengkapurkan kubur (binaan), duduk di atas dan membuat binaan di atasnya.” (HR Muslim)
Bahkan baginda pernah memerintah Ali Bin Abi Talib RA untuk meratakan mana-mana kubur yang ditemuinya ada binaan. Baginda berpesan kepada beliau:
“Jangan tinggalkan apa-apa patung berhala melainkan kamu mengubahnya dan jangan tinggalkan mana-mana kubur yang ditinggikan melainkan kamu meratakannya.” (HR Muslim)
Berdasarkan hadith-hadith di atas, para ilmuan Islam melarang daripada membuat binaan di atas kubur. Jika hendak menandakan itu adalah kawasan perkuburan, sebahagian ulama membolehkan meninggikan timbunan tanah sekadar satu jengkal. Ada yang membolehkan binaan sekadar untuk menahan tanah dari dihakis oleh air. Namun jika yang dibuat adalah satu binaan yang berlebih-lebihan, maka ia dilarang.
Imam Nawawi berkata: “al-Syafie dalam kitabnya al-Umm telah berkata: “Aku telah melihat para imam Mekah memerintahkan untuk menghancurkan bangunan yang ada di atas kubur.
Riwayat yang memperkuatkan tindakan tersebut adalah daripada sabda Nabi SAW, hendaklah kamu tidak membiarkan kuburan yang ada timbunan kecuali kamu ratakan.” (Syarah Sahih Muslim)
Semoga perkongsian ini memberi manfaat kepada semua.