Semua orang-orang yang beriman mengimpikan kematian yang Husnul Khatimah. Dalam entry pagi ini, teman hendak memanjangkan perkongsian ilmu ini berkenaan tanda-tanda kematian yang husnul khatimah.
Pertama :
Mereka yang dapat mengucapkan syahadah menjelang kematian sebagaimana ditunjukkan dalam banyak hadis sahih, antaranya Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang ucapan terakhirnya ‘Laa ilaaha illallah’, maka dia masuk syurga.” (Hadis Hasan)
Kedua :
Kematian yang disertai dengan basahnya kening dengan keringat atau peluh berdasarkan hadis Buraidah bin HushaibR.A : Dari Buraidah bin Khusaib R.A bahawa ketika dia berada di Khurasan sedang membesuk seorang sahabatnya yang sakit dia mendapatinya sudah meninggal tiba-tiba keningnya berkeringat maka dia berkata: “Allahu Akbar!, aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud: “Kematian seorang mukmin disertai keringat di keningnya.” (Hadis Sahih)
Ketiga :
Mereka yang (baik-baik dan soleh) meninggal dunia pada malam Jumaat atau siangnya berdasarkan sabda Rasulullah S.A.W: “Tidaklah seorang Muslim yang meninggal pada hari Jumaat atau malam Jumaat melainkan Allah melindunginya daripada seksa kubur.”
Keempat :
Meninggal dalam keadaan syahid di medan perang sebagaimana ertinya: “Dan janganlah sekali-kali kamu mengira bahawa orang-orang yang terbunuh di jalan Allah mati, tetapi mereka hidup diberi rezeki di sisi Tuhan mereka. Mereka bergembira dengan kurnia yang diberikan Allah kepada mereka dan memberi khabar gembira kepada orang yang belum mengikuti mereka di belakang janganlah mereka takut dan sedih. Mereka memberi khabar gembira dengan kenikmatan dari Allah dan kurniaNya dan bahawa Allah tidak mensia-siakan balasan bagi orang-orang beriman.” (QS Ali Imran:169-171)
Rasulullah S.A.W juga pernah bersabda: “Orang yang syahid mendapatkan enam perkara: Diampuni dosanya sejak titisan darahnya yang pertama; diperlihatkan tempatnya dalam syurga; dijauhkan dari seksa kubur; diberi keamanan dari goncangan yang dahsyat di hari kiamat; dipakaikan mahkota keimanan; dinikahkan dengan bidadari syurga; diizinkan memberi syafaat bagi tujuh puluh anggota keluarganya.”
Kelima :
Mereka yang meninggal dunia ketika berjuang di jalan Allah (bukan terbunuh) berdasarkan sabda Rasulullah S.A.W: “Apa yang kalian nilai sebagai syahid antara kalian? Mereka berkata: Ya Rasulullah, siapa yang terbunuh di jalan Allah, maka dia syahid. Beliau berkata: Jadi sesungguhnya syuhada’ umatku sedikit.” Mereka berkata: “Lalu siapa mereka Ya Rasulullah?” Baginda bersabda: “Barang siapa yang terbunuh di jalan Allah syahid, barang siapa yang mati di jalan Allah syahid, barang siapa yang mati kerana wabak taun syahid, barang siapa yang mati kerana "mabtun" syahid dan orang yang tenggelam syahid.”
Keenam :
Mati kerana satu wabak penyakit taun berdasarkan beberapa hadis antaranya: Rasulullah S.A.W bersabda: “Wabak taun adalah kesyahidan bagi setiap Muslim.” Ini termasuk malaria, denggi, apa sahaja virus-virus yang merebak dan sebagainya)
Ketujuh : Mereka yang mati kerana penyakit dalaman (mabtun) berdasarkan hadis di atas. (sakit jantung,hati,paru-paru, usus, perut, apendiks, pankreas, payudara, rahim dan lain-lain yang tersembunyi dalam badan manusia)
Kelapan dan ke sembilan :
Mereka yang mati kerana tenggelam dan terkena runtuhan berdasarkan sabda Nabi S.A.W: “Syuhada ada lima: yang mati kerana wabak taun, kerana penyakit perut, yang tenggelam, yang terkena runtuhan dan yang syahid di jalan Allah.” Ulama mengatakan orang yang meninggal kerana kemalangan jalanraya adalah termasuk dalam kategori ini.
Kesepuluh :
Matinya seorang wanita dalam nifasnya disebabkan melahirkan anaknya: Dari Ubadah bin Shamit R.A bahawa Rasulullah S.A.W menjenguk Abdullah bin Rawahah R.A dan berkata: Beliau tidak berpindah dari tempat tidurnya lalu berkata: “Tahukah kamu siapa syuhada’ dari umatku?” Mereka berkata: “Terbunuhnya seorang Muslim adalah syahid.” Baginda berkata: “Jadi sesungguhnya para syuhada’ umatku, terbunuhnya seorang Muslim syahid, mati kerana wabak taun syahid, wanita yang mati kerana janinnya syahid (ditarik oleh anaknya dengan tali arinya ke syurga).”
Kesebelas dan dua belas :
Mereka yang mati kerana terbakar dan sakit bengkak panas yang menimpa selaput dada di tulang rusuk, ada beberapa hadis yang terkait yang paling masyhur: Dari Jabir bin ‘Atik dengan sanad marfu’: “Syuhada’ ada tujuh selain terbunuh di jalan Allah: yang mati kerana wabak taun syahid; yang tenggelam syahid; yang mati kerana sakit bengkak yang panas pada selaput dada syahid; yang sakit perut syahid; yang mati terbakar syahid; yang mati terkena runtuhan syahid; dan wanita yang mati setelah melahirkan syahid.”
Ketiga belas :
Mereka yang mati kerana sakit TB berdasarkan hadis: Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud: “Terbunuh di jalan Allah syahid, wanita yang mati kerana melahirkan syahid, orang yang terbakar syahid, orang yang tenggelam syahid, dan yang mati kerana sakit TB syahid, yang mati kerana sakit perut syahid.” (Hadis Hasan)
Keempat belas :
Mereka yang mati kerana mempertahankan hartanya yang hendak dirampas. Dalam hal itu ada beberapa hadis di antaranya: Rasulullah S.A.W bersabda: “Barang siapa yang terbunuh kerana hartanya (dalam riwayat: barang siapa yang hartanya diambil tidak dengan alasan yang benar lalu dia mempertahankannya dan terbunuh,) maka dia syahid.”
Kelima belas dan enam belas :
Mereka yang mati kerana mempertahankan agama dan dirinya: Rasulullah S.A.W bersabda: “Barang siapa yang terbunuh kerana hartanya syahid, barang siapa yang terbunuh kerana keluarganya syahid, barang siapa yang terbunuh kerana agamanya syahid, barang siapa yang terbunuh kerana darahnya syahid.”
Ketujuh belas :
Mereka yang mati dalam keadaan ribath (berjaga-jaga di perbatasan) di jalan Allah. Ada dua hadis dalam hal itu salah satunya: Rasulullah S.A.W bersabda: “Ribath sehari semalam lebih baik dari berpuasa dan qiyamullail selama sebulan, dan jika mati maka akan dijalankan untuknya amalan yang biasa dikerjakannya, akan dijalankan rezekinya dan diamankan dari fitnah.”
Kelapan belas :
Mati ketika melakukan amal soleh berdasarkan hadis Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang mengucapkan: ‘Laa ilaaha illallah’ mengharapkan wajah Allah lalu wafat setelah mengucapkannya maka dia masuk syurga, barang siapa berpuasa satu hari mengharapkan wajah Allah lalu wafat ketika mengerjakannya maka dia masuk syurga, barang siapa yang bersedekah dengan satu sedekah mengharapkan wajah Allah lalu wafat ketika mengerjakannya maka dia masuk syurga.”
Kesembilan belas :
Mereka yang dibunuh oleh penguasa yang zalim kerana memberi nasihat kepadanya: Rasulullah S.A.W bersabda: “Penghulu para syuhada’ adalah Hamzah bin Abdul Mutalib dan seseorang yang mendatangi penguasa yang zalim, lalu dia memerintahkan yang baik dan melarang dari yang mungkar lalu dia dibunuhnya.” Hadis dikeluarkan oleh Al-Hakim dan disahihkannya, dan Al Khatib.
Kedua puluh :
Mereka yang meninggal ketika keluar dari rumah untuk menuntut ilmu. Sabda Rasulullah "Barangsiapa yang keluar dari rumahnya ,dia berada fi sabilillah sehingga dia pulang ke rumahnya semula".(at-Tirmizi). Meninggalnya dia ditengah jalan dalam menuntut ilmu dikira sebagai syahid fi sabilllah.
Kebanyakan syahid diatas disebut sebagai syahid akhirat yakni jenazahnya perlu diuruskan seperti jenazah biasa, diakhirat dia akan dibangkitkan bersama syuhada' insyallah. Manakala syahid dunia dan akhirat hanyalah mereka yang gugur dimedan perang fisabillah. Jenazah mereka hanya perlu dikafan dan dikebumikan sahaja.
Lihatlah betapa rahim-Nya Allah yang menjadikan ujian keatas orang Islam sebagai penyebab keampunan keatas dosa-dosa mereka lalu meninggikan darjat mereka dengan ujian yang dihadapinya itu dengan mengurniakan syahid kepadanya.
Semoga kita dimatikan di dalam husnul Khotimah dan dijauhkan kematian di dalam Suul Khotimah. Amiin, Ya Rabbal ‘Alamin...
Wallahua'lam. Sekadar perkongsian, semoga ia memberi manfaat kepada semua.
Aamiin... singgah sini, salam knl, saya follow
ReplyDeleteSemoga Kita semua berakhir dgn husnul khotimah
ReplyDeleteAllahummaah timlana bi'khusnil khotimah, wala tahtim alaina bisuu ii' khotimah
ReplyDelete