Dalam segmen kuliah pagi ini, teman nak memanjangkan perkongsian berkenaan hubungan antara Surah Al-Kahfi dengan fitnah Dajjal. Surah Al-Kahfi terdiri dari 110 ayat.
Dalam Surah al Kahfi membawakan empat cerita yang menuntut kita untuk merenung dan mengambil iktibar darinya:
1. Pemuda yang bersembunyi dalam gua (ahli kahfi)
2. Kisah pemilik dua kebun
3. Kisah Nabi Musa dan Nabi atau orang soleh bernama Khidir AS.
4. Kisah Raja Zul Qarnain.
Empat kisah ini mempunyai kaitan yang rapat dengan empat fitnah paling besar di akhir zaman:
1. Fitnah agama (Kisah pemuda dalam gua)
2. Fitnah harta (Kisah pemilik dua kebun)
3. Fitnah ilmu ( Nabi Musa dan Khidir)
4. Fitnah Kuasa pemerintahan (Kisah Zul Qarnain)
Kesemua fitnah ini amat besar impaknya kepada manusia dan penggerak utama fitnah-fitnah ini adalah SYAITAN yang berperanan menyesatkan anak-anak Adam dengan menghiasi fitnah-fitnah tersebut untuk menjerumuskan manusia ke lembah neraka dan syirik kepada Allah عز وجل. Firman Allah Taala pada ayat 50 dalan Surah al Kahfi:
(وَإِذْقُلْنَا لِلْمَلَائِكَةِ اسْجُدُوا لِآدَمَ فَسَجَدُوا إِلَّا إِبْلِيسَ كَانَ مِنَ الْجِنِّ فَفَسَقَ عَنْ أَمْرِ رَبِّهِ أَفَتَتَّخِذُونَهُ وَذُرِّيَّتَهُ أَوْلِيَاء مِن دُونِي وَهُمْ لَكُمْ عَدُوٌّ بِئْسَ لِلظَّالِمِينَ بَدَلًا)آية50
Dan ketika Kami berfirman kepada malaikat: "Sujudlah kamu kepada Adam"; lalu mereka sujud melainkan iblis; Ia adalah berasal dari golongan jin, lalu ia menderhaka terhadap perintah Tuhannya. Oleh itu, patutkah kamu hendak menjadikan iblis dan keturunannya sebagai sahabat-sahabat karib yang menjadi pemimpin selain daripadaku? Sedang mereka itu ialah musuh bagi kamu. Amatlah buruknya bagi orang-orang yang zalim: pengganti yang mereka pilih itu. (50)
Apakah Hubungan Dajjal dengan Surah al Kahfi ini?
Rasulullah SAW bersabda:
حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ الْمُثَنَّى حَدَّثَنَا مُعَاذُ بْنُ هِشَامٍ حَدَّثَنِي أَبِي عَنْ قَتَادَةَ عَنْ سَالِمِ بْنِ أَبِي الْجَعْدِ الْغَطَفَانِيِّ عَنْ مَعْدَانَ بْنِ أَبِي طَلْحَةَ الْيَعْمَرِيِّ عَنْ أَبِي الدَّرْدَاءِ
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ حَفِظَ عَشْرَ آيَاتٍ مِنْ أَوَّلِ سُورَةِ الْكَهْف عُصِمَ مِنْ الدَّجَّالِ. رواه مسلم.
Dari Abi Dardaa RA bahawa Nabi SAW bersabda: "Sesiapa yang menghafal 10 ayat terawal dari Surah al Kahfi maka dia terpelihara daripada fitnah dajjal. Riwayat Muslim.
Dalam riwayat lain, Nabi SAW menyebutkan 10 ayat terakhir dari Surah al Kahfi.
Dajjal akan muncul sebelum hari kiamat dengan membawa empat fitnah besar yang akan menjerumuskan manusia kepada kekufuran. Fitnah tersebut adalah:
1. Fitnah Agama.
Dajal akan mengajak manusia supaya menyembah dirinya (Dajjal).
Pada permulaannya, Dajjal akan mengaku dirinya sebagai nabi. Ingatlah, tidak ada lagi nabi sesudah Nabi Muhammad SAW.
Setelah itu dia akan mengaku sebagai Tuhan. Dan ingatlah hanya Allah tuhan yang Maha Esa. Dajjal itu cacat matanya sedangkan Allah SWT tidak cacat, bahkan tidak sama dengan makhluk.
Dan juga di antara dua mata Dajjal itu tertulis KAFIR, yang dapat dibaca oleh setiap mukmin yang pandai membaca atau buta huruf.
2. Fitnah Harta
Dajjal mampu memerintahkan langit untuk turunkan hujan serta menguji manusia dengan kemewahan duniawi.
Dikhabarkan bahawa: “Di antara tipu dayanya dia menyuruh langit supaya menurunkan hujan dan hujan pun turun. Dia memerintahkan bumi supaya mengeluarkan tumbuh-tumbuhan maka ia tumbuh. Dan termasuk ujian yang paling berat bagi manusia, Dajjal itu akan datang ke perkampungan orang-orang baik dan jika mereka tidak mengaku Dajjal sebagai Tuhan, maka tanam-tanaman dan ternakan mereka akan binasa dan tidak mengeluarkan hasil.
Dajjal akan datang ke tempat orang-orang yang beriman kepadanya, dan jika mereka mengaku dajjal sebagai Tuhan, maka hujan akan turun bercurah curah di tempat mereka dan tanam-tanaman mereka pun membuahkan hasil.
3. Fitnah Ilmu, Sains dan Teknologi.
Di antara tipu daya Dajjal, dia akan berkata kepada manusia: “Seandainya aku sanggup menghidupkan ayah atau ibumu yang sudah lama meninggal dunia itu, apakah engkau mengaku aku sebagai Tuhanmu?
Orang tersebut berkata: “Tentu.” Maka syaitan pun datang menyamar seperti ayah atau ibunya. Rupanya sama, sifat-sifatnya sama dan suaranya pun sama. Ibu bapanya berkata kepadanya: “Wahai anakku, ikutilah dia (Dajjal), sesungguhnya dialah Tuhanmu.”
Di antara fitnah dajal juga ialah ia mampu membuat perkara yang luar biasa dalam ilmu sains dan teknologi. Dia bunuh dan membelah dua seorang manusia. Setelah itu dia katakan kepada orang ramai: “Lihatlah apa yang telah aku lakukan terhadap hambaku ini, sekarang akan kuhidupkan dia kembali. Dengan izin Allah orang mati tadi hidup semula. Kemudian Dajjal لعنة الله عليه itu bertanya: “Siapa Tuhanmu?” Sedangkan orang yang dia bunuh itu, adalah seorang yang beriman, pantas beliau menjawab: “Tuhanku adalah Allah, sedangkan engkau adalah musuh Allah.” Hamba ini berjaya menghadapi fitnah tersebut.
4. Fitnah Kuasa Pemerintahan.Dajjal menguasai sebahagian besar dunia di akhir zaman ini.
Tidak ada kampung atau daerah di dunia ini yang tidak didatangi oleh Dajjal kecuali Makkah dan Madinah. Kedua-dua kota itu tidak dapat ditembusi oleh Dajjal kerana dikawal oleh Malaikat. Dia hanya berani menhentak kakinya di pinggiran Makkah dan Madinah. Namun demikian ketika Dajjal datang ke pergunungan di luar kota Madinah, kota Madinah bergoncang seperti gempa bumi. Ketika itu orang-orang munafik seperti cacing kepanasan dan bertempiaran meninggalkan bumi Madinah. Mereka keluar dan pergi bergabung dengan orang-orang yang sudah menjadi pengikut Dajjal. Inilah yang dikatakan hari pembersihan kota Madinah.
Maka Allah Taala telah memberikan pedoman dan tunjuk ajar kepada sekalian manusia bagaimana untuk selamat dan cara menghadapi Dajjal di akhir zaman dengan membawa contoh yang telah dilakukan oleh umat terdahulu dalam menghadapi fitnah yang hampir sama dengan fitnah Dajjal. Ia ada disebutkan dalam Surah al Kahfi.
1. Menghadapi Fitnah Agama
Kisah pemuda-pemuda soleh yang melarikan diri bersembunyi di dalam gua untuk menjaga agama mereka dari raja zalim yang memaksa rakyatnya untuk menyembahnya. Allah Taala telah menidurkan mereka selama 300 tahun 9 hari. Usai cerita ini, Allah Taala mengajarkan kepada kita bagaimana cara kita hendak menjaga fitnah agama ini, ayatnya:
(وَاصْبِرْ نَفْسَكَ مَعَ الَّذِينَ يَدْعُونَ رَبَّهُم بِالْغَدَاةِ وَالْعَشِيِّ يُرِيدُونَ وَجْهَهُ وَلَا تَعْدُ عَيْنَاكَ عَنْهُمْ تُرِيدُ زِينَةَ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَلَا تُطِعْ مَنْ أَغْفَلْنَا قَلْبَهُ عَن ذِكْرِنَا وَاتَّبَعَ هَوَاهُ وَكَانَ أَمْرُهُ فُرُطًا * وَقُلِ الْحَقُّ مِن رَّبِّكُمْ فَمَن شَاء فَلْيُؤْمِن وَمَن شَاء فَلْيَكْفُرْ إِنَّاأَعْتَدْنَا لِلظَّالِمِينَ نَارًا أَحَاطَ بِهِمْ سُرَادِقُهَا وَإِن يَسْتَغِيثُوا يُغَاثُوا بِمَاء كَالْمُهْلِ يَشْوِي الْوُجُوهَ بِئْسَ الشَّرَابُ وَسَاءتْ مُرْتَفَقًا) 28-29.
Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredaan Allah semata-mata; dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia; dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam Al-Quran, serta ia menurut hawa nafsunya, dan tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran. (28)
Dan katakanlah (wahai Muhammad): "Kebenaran itu ialah yang datang dari Tuhan kamu, maka sesiapa yang mahu beriman, hendaklah ia beriman; dan sesiapa yang mahu kufur ingkar, biarlah dia mengingkarinya". Kerana Kami telah menyediakan bagi orang-orang yang berlaku zalim itu api neraka, yang meliputi mereka laksana khemah; dan jika mereka meminta pertolongan kerana dahaga, mereka diberi pertolongan dengan air yang seperti tembaga cair yang membakar muka; amatlah buruknya minuman itu, dan amatlah buruknya neraka sebagai tempat bersenang-senang. (29)
Konklusinya ialah kita perlu mendampingi sahabat-sahabat yang soleh dan guru-guru yang mursyid untuk membimbing kita mendekatkan diri kepada Allah dan sunnah Rasulullah SAW.
2. Fitnah Harta
Kisah seorang hamba yang Allah Taala telah kurniakan kepadanya dua kebun yang amat subur, kemudian dia kufur dengan nikmat tersebut dan mengingkari hari kebangkitan maka Allah Taala telah musnahkan kebun-kebun tersebut. Allah Taala telah ajarkan kepada kita bagaimana hendak selamat dari fitnah harta ini dengan firmanNya:
(وَاضْرِبْ لَهُم مَّثَلَ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا كَمَاء أَنزَلْنَاهُ مِنَ السَّمَاء فَاخْتَلَطَ بِهِ نَبَاتُ الْأَرْضِ فَأَصْبَحَ هَشِيمًا تَذْرُوهُ الرِّيَاحُ وَكَانَ اللَّهُ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ مُّقْتَدِرًا * الْمَالُ وَالْبَنُونَ زِينَةُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَالْبَاقِيَاتُ الصَّالِحَاتُ خَيْرٌعِندَ رَبِّكَ ثَوَابًا وَخَيْرٌ أَمَلًا) آية 45 و46.
Dan kemukakanlah kepada mereka misal perbandingan: Kehidupan dunia ini samalah seperti air yang Kami turunkan dari langit, lalu bercampur aduklah tanaman di bumi antara satu sama lain (dan kembang suburlah ia) disebabkan air itu; kemudian menjadilah ia kering hancur ditiup angin; dan (ingatlah) adalah Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. (45)
Harta benda dan anak-anak itu, ialah perhiasan hidup di dunia; dan amal-amal soleh yang kekal faedahnya itu lebih baik pada sisi Tuhanmu sebagai pahala balasan, dan lebih baik sebagai asas yang memberi harapan. (46)
3. Fitnah Ilmu
Kisah Nabi Musa AS dan orang soleh Khidir. Nabi Musa AS merasakan dia merupakan orang yang paling pandai di atas muka bumi ini. Lalu Allah Taala menegur Baginda AS bahawa masih ada di sana orang yang lebih pandai (dalam ilmu-ilmu tertentu) dari Baginda. Maka Nabi Musa AS pergi mencari Khidir untuk bertemu dan menuntut ilmu darinya. Tetapi Nabi Musa AS tidak mampu bersabar dengan apa yang dilakukan oleh Khidir AS kerana tidak dapat memahami hikmah dari apa yang dilakukan oleh Nabi Khidir AS.
Allah Taala kemudiannya memberi kaedah apa yang perlu dilakukan dalam menghadapi fitnah Ilmu ini dengan firmanNya:
(قَالَ سَتَجِدُنِي إِن شَاء اللَّهُ صَابِرًا وَلَا أَعْصِي لَكَ أَمْرًا) آية 69.
Nabi Musa berkata: "Engkau akan dapati aku, Insyaa Allah: orang yang sabar; dan aku tidak akan membantah sebarang perintahmu".
Kesimpulannya kepada penuntut Ilmu dan orang yang bergelar Ilmuan, jangan sesekali kita rasa bangga dengan ilmu yang kita ada dan darjat yang telah kita perolehi sama ada gelaran Profesor, Doktor PhD dan sebagainya. Hendaklah kita sentiasa tawadhu dan merendah diri dengan ilmu yang Allah telah kurniakan. In sya Allah kita akan selamat dari fitnah besar akhir zaman ini.
4. Kisah Kuasa Pemerintahan
Nabi atau Raja Zul Qarnain, seorang yang adil lagi bijaksana, dianugerahkan kepada Baginda kuasa memerintah dunia. Maka Baginda mengembara ke seluruh pelusuk dunia untuk mengajak manusia menyembah Allah Taala dan membantu mereka yang dalam kesusahan. Hinggalah Baginda sampai di suatu kampung yang sentiasa diselubungi dengan ketakutan serangan dan gangguan ganas Yaajuj dan Maajuj. Maka Baginda pun menolong penduduk kaum tersebut dengan membina tembok yang tinggi dan kuat untuk menghalang Yaajuj dan Maajuj keluar dari penempatan mereka seterusnya membuat kerosakan dan keganasan di atas muka bumi.
Kemudiannya Allah datangkan penyelesaian dan kaedah bagaimana hendak menghadapi fitnah kuasa pemerintahan ini. Islam tidak melarang manusia daripada memegang tampuk pemerintahan tetapi Allah meletakkan syarat apabila diamanahkan untuk menunaikan tanggung jawab tersebut iaitu ayat 103 dan 104 dari Surah al Kahfi:
(قُلْ هَلْ نُنَبِّئُكُمْ بِالْأَخْسَرِينَ أَعْمَالًا * الَّذِينَ ضَلَّ سَعْيُهُمْ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَهُمْ يَحْسَبُونَ أَنَّهُمْ يُحْسِنُونَ صُنْعًا) آية 103و104.
Katakanlah (wahai Muhammad): "Mahukah Kami khabarkan kepada kamu akan orang-orang yang paling rugi amal-amal perbuatannya?(103)
(Iaitu) orang-orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan". (104)
Untuk selamat daripada fitnah kuasa pemerintahan hendaklah hati sentiasa Ikhlas kerana Allah Taala dalam memerintah dan sentiasa mengingati hari pembalasan kelak dalam apa jua tindakan.
Surah al Kahfi diakhiri dengan memberi peringatan kepada manusia bagaimana hendak selamat dari semua fitnah yang telah disebutkan sebelumnya iaitu dengan mengingati hari Akhirat.
(قُلْ إِنَّمَا أَنَا بَشَرٌ مِّثْلُكُمْ يُوحَى إِلَيَّ أَنَّمَاإِلَهُكُمْ إِلَهٌ وَاحِدٌ فَمَن كَانَ يَرْجُو لِقَاء رَبِّهِ فَلْيَعْمَلْ عَمَلًا صَالِحًا وَلَا يُشْرِكْ بِعِبَادَةِ رَبِّهِ أَحَدًا ) آية 110
Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan Yang Satu; Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya". (110)
Hendaklah kita istiqamah melakukan amal-amal soleh, niat sentiasa ikhlas kerana Allah Taala dan memastikan ia menepati sunnah dan panduan yang telah diajarkan oleh Rasulullah SAW tanpa membuat dan mereka-reka ibadah-ibadah baru yang tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat.
Sama-samalah kita melazimi membaca surah al Kahfi, paling kurang sekali seminggu. Semoga Allah Taala menyelamatkan kita dari fitnah akhir zaman dan Dajjal لعنة الله عليه.
Perkongsian di bawah adalah Surah Al-Kahfi ayat 1-10
Mantapkan keimanan kita.Moga dihindari dari fitnah Dajjal.Aamin.
ReplyDeleteTerima kasih perkongsian.
sy x igt sy bc kat mana.... katanya, dajjal belum muncul pun fitnah dah berleluasa dan ramai terpedaya...macam mana agaknya kalau dajjal betul2 dah muncul??
ReplyDeleteWow. TQ for good sharing
ReplyDelete