Saturday, November 5, 2016

Kuliah : Jika tertinggal atau menambah rukun semasa solat

Sekadar perkongsian ilmu. Entry kuliah pagi ini berkisar tentang persoalan tertinggal atau tertambah rukun semasa mengerjakan solat. Antara persoalan yang boleh dikongsikan seperti berikut;

-IMAM TAMBAH RAKAAT-

Solat 
Gambar ehsan Google


SOALAN INBOX:

Assalamualaikum ustaz, malam tadi saya solat isyak di surau tempat saya. Lepas rakaat 4 imam tak tahiyat dia terus naik, makmum semua confius dan mengikut imam. Selesai solat keadaan kecoh sedikit sebab ada yang tegur imam tertambah satu lagi rakaat. Apakah hukum solat imam dan makmum? Sah atau tidak? Kemudian semua berpakat ulang solat. Mohon penjelasan ustaz.

JAWAPAN:

1) Hukum asas dalam solat jika menambah mana-mana rukun fi’li(perbuatan) maka solat dikira batal seperti menambah rakaat dalam solat, menambah sujud atau rukuk, kecuali mereka yang terlupa.

2) Jika seseorang menyedari bahawa di sedang menambah mana-mana rukun fi’li maka dia wajib berpatah balik iaitu wajib meninggalkan rukun yang tertambah, tanpa meneruskannya. Sebagai contoh apabila seseorang menyedari bahawa dia menambah rakaat tanpa sengaja, maka wajib dia terus duduk tahiyyat akhir.

3) Apabila seseorang menyedari bahawa dia telah menambah rakaat sedangkan bertahiyyat akhir, maka dia hanya perlu meneruskan tahiyyat tersebut kemudian disunatkan untuk melakukan sujud sahwi sebelum salam.

4) Manakala apabila sudah menyedari tambahan rakaat itu setelah salam, maka dia tidak wajib untuk mengulangi solat tersebut kerana dia menambah rakaat tersebut bukan secara sengaja malah terlupa. Namun dia disunatkan untuk melakukan sujud sahwi.

5) Dalam situasi solat berjemaah, jika imam menambah satu lagi rakaat sedangkan solat sudah sempurna rakaatnya maka makmum tidak boleh ikut serta imam tersebut.

Perkara ini dijelaskan oleh Imam Ba ‘Alawi -رحمه الله تعالى- di dalam karangannya “Bughyah al-Mustarsyidin”, kata beliau:

قام الإمام لخامسة لم يجز للمأموم متابعته ولو مسبوقا ولا انتظار بل تجب مفارقته.

Maksudnya: “Apabila Imam bangun untuk rakaat ke lima maka makmum tidak boleh mengikutinya walaupun dia makmum yang masbuq, begitu juga tidak boleh menunggu, bahkan wajib mufaraqah".

6) Menurut Imam Ba ‘Alawi dalam kenyataannya makmum yang yakin bahawa imam telah tersalah dengan menambah rakaat maka dia tidak boleh ikut serta imam tersebut bahkan tidak boleh menunggu imam itu untuk turun kembali, jika dia ikut serta imam atau menunggu maka batal solatnya. 

7) Melainkan jika imam itu sengaja tidak turun untuk tahiyyat kerana dia tertinggal salah satu rukun dalam solat, lalu dia menambah satu rakaat sebagai tambahan yang menggantikan rakaat yang kekurangan rukun. Penambahan sebegini tidak membatalkan solat bahkan diwajibkan menambah kerana kekurangan rukun pada rakaat sebelumnya.

8) Begitu juga jika makmum yang mengetahui atau menyangka bahawa imam sengaja menambah rakaat disebabkan tertinggal rukun pada salah salah satu rakaat sebelum iniو maka makmum boleh/harus menunggu untuk salam bersama-sama imam, namun lebih afdal mufaraqah seperti yang dinyatakan dalam kitab Tuhfah al-Muhtaj.

9) Jika si makmum tidak mengetahui samaada itu adalah rakaat tambahan atau syak samaada ia tambahan atau tidak maka makmum mestilah mengikuti imam tersebut sepertimana yang dinyatakan di dalam kitab Busyra al-Karim. Apabila disedari ia adalah rakaat tambahan setelah salam, maka tidak wajib mengulangi solat hanya disunatkan untuk bersujud sahwi (seperti kenyataan no. 4).

10) Kembali kepada soalan di atas, solat imam itu dikira sah kerana dia yakin bahawa dia dalam rakaat keempat, tindakan seterusnya dia disunatkan untuk sujud sahwi sahaja tanpa perlu mengulangi solat apabila menyedari dia telah menambah satu rakaat.

11) Manakala makmum dalam situasi ini berada dalam keadaan jahil terhadap hukum hakam solat, maka dimaafkan bagi mereka yang turut serta bersama imam menambahkan rakaat sedangkan dia perasan bahawa rakaat itu adalah rakaat ke-5. Jika berlaku lagi selepas ini(setelah mendapat ilmu) maka solatnya tidak sah bahkan wajib diulangi.

Wallahu A’lam
Abu Ruqayyah Ba ‘Alawi

No comments :

Post a Comment

Ada robot tak??? Setiap komen yang di tinggalkan disini akan di kunjung balas ke blog tuan-tuan sebagai tanda terima kasih... Sudi-sudilah tinggalkan komen kome kat sini ye... Terima kasih...