Fenomena Gangnam Style melanda negara kita sejak kebelakangan ini. Mungkin ramai di antara kita tidak kisah pun apa sebenarnya Gangnam Style tu. Sebenarnya Gangnam merupa satu daerah untuk golongan elit terletak di Soeul, South Korea. Klik disini untuk membacanya lebih lanjut.
Bagaimana pun, terdapat satu kisah yang tidak menyenangkan tersebar di email, tetapi teman tidak pasti akan kebenarannya. Apa pun, teman kongsikan isi kandungan email tersebut disini... Kalau ada sesiapa yang ada info ini boleh la kongsikan disini diruangan komen di bawah...
Ok, kisah email tersebut adalah seperti dibawah :
Ok, kisah email tersebut adalah seperti dibawah :
Malam
tadi setelah keluar dari masjid selesai solat Isyak di masjid berdekatan dengan
rumah, saya berjalan kaki seorang diri pergi ke sebuah kedai makan untuk makan
malam. Pengunjung di kedai makan yang saya tuju itu agak ramai dan boleh
dikatakan hampir kebanyakan meja di kedai tersebut sudah penuh. Saya memilih
untuk duduk di salah sebuah meja di bahagian paling hujung seorang diri yang
ketika itu tiada orang di meja tersebut. Apabila pelayan datang saya pun
memesan makanan yang saya mahu. Selepas beberapa ketika pelayan tersebut pergi
datanglah pula seorang gadis muda berkulit cerah berjubah dan bertudung hitam
gaya wanita Arab ke meja saya seraya bertanya,
"Tuan,
boleh saya duduk di sini..? Kamu lihat, tempat-tempat di meja lain semua sudah
penuh.."
"Oh,
ok.. tak mengapa. Silakan duduk.." jawab saya agak terkejut dengan sapaan
gadis itu. Perbualan kami dalam bahasa Inggeris.
Kemudian
pelayan datang kepadanya dan dia hanya memesan 'fresh orange' untuk minuman.
Apabila pelayan pergi saya memberanikan diri bertanya kepadanya dengan rasa
pelik, "Kamu seorang diri sahaja? Dan kamu kelihatan bukan orang Malaysia,
bukan?"
Dia
mengangkat wajahnya dari telefon pintarnya ke arah saya lalu menjawab dengan
tersenyum, "Oh saya dari Korea Selatan, dan saya ingin ke rumah seorang
kawan.."
"Oh
Korea Selatan.. sekarang negara itu sedang 'famous' dengan tarian Gangnam
Style.." jawab saya spontan bersahaja sambil tersenyum dan
menganguk-angguk sendirian tatkala mata gadis itu kembali ke telefon pintarnya
sambil menggerak-gerakkan jarinya di atas skrin sesentuh dan kadangkala dia
juga tersenyum seorang diri melayan sesuatu dari telefon pintarnya.
"Gangnam
Style..? Apa yang kamu tahu tentangnya.. ia tarian yang dilaknat Tuhan. Saya
menganggapnya diilhamkan oleh Iblis kepada artis itu." jawabnya dengan
nada yang tegas dan berani.
"Oh
ok ok, minta maaf..saya tak bermaksud menyinggung perasaan kamu.." jawab
saya serta-merta.
Perbualan
terhenti seketika beberapa lama. Selepas kira-kira 15-20 minit pelayan kembali
datang dengan membawa pesanan saya dan minuman gadis itu.
"Kamu
mahu tahu apa yang saya tahu tentang Gangnam?" tanya gadis kembali itu
kepada saya.
"Jika
kamu berminat untuk bercerita kepada saya, saya akan mendengarnya…" jawab
saya dengan tenang sambil mula menghirup jus tembikai susu yang saya pesan.
"Ok
sekejap beberapa minit, selepas saya membalas mesej-mesej ini.." jawabnya
sambil jari-jemarinya ligat bermain di dada skrin telefon pintarnya.
Saya
hanya mengangguk-angguk sambil mengangkat kening dan mula menyuap makanan
dengan sudu ke dalam mulut walaupun saya sedar bahawa memakan dengan
menggunakan tangan itu lebih menepati Sunnah Rasulullah SAW.
"Baik,
sekarang saya akan bercerita tentangnya.. ia sesuatu yang menarik tetapi pelik
dan menakutkan." kata gadis itu kembali.
"Ok,
seakan-akan ada satu perkara besar yang kamu ingin sampaikan kepada saya."
jawab saya kembali sambil mulut mengunyah nasi.
Kemudian
dia diam kira-kira sepuluh saat, mengambil nafas lalu memulakan ceritanya
kepada saya,
"Di
Gangnam ada satu pertandingan pelik yang diadakan untuk gadis-gadis muda untuk
menjadi perempuan-perempuan simpanan bagi orang-orang kaya dan para jutawan.
Kebanyakan gadis muda yang menyertai pertandingan tersebut adalah mereka yang
ingin mencuba nasib apabila gagal mendapat tempat dalam pekerjaan atau terlalu
teruja untuk menikmati hidup mewah bersama orang-orang kaya… mereka dijanjikan
dengan hadiah yang sangat lumayan, kereta mewah, jet peribadi dan rumah besar
seperti istana dengan kolam renang jika memenangi pertandingan tersebut."
Kemudian
dia diam lagi... kali ini dia pula meminum minuman 'fresh orange'.. dia diam
dengan agak lama tanpa berkata apa-apa.
"Ok,
kemudian..?" tukas saya lagi ingin tahu.
"Oh,
ia sesuatu yang amat dahsyat dan keji dan saya hampir tidak mahu
menceritakannya kepada kamu. Tapi saya akan cuba ceritakannya juga agar kamu
dapat tahu apa kisah benar yang berlaku.." sambungnya lagi.
"Iya,
sila sambung lagi... saya memang ingin tahu tentangnya." balas saya lagi.
"Ok...
Pertandingan itu, untuk sampai ke tempat pertandingan tersebut, para peserta yang
terdiri daripada perempuan-perempuan muda yang cantik masing-masing dikehendaki
menunggung seekor kuda kira-kira 500 meter dari tempat para peserta berkumpul
ke tempat pertandingan yang merupakan sebuah istana besar dan mewah milik
seorang jutawan di Gangnam. Kamu bayangkan, mereka semuanya menunggang kuda
dengan memakai kasut tumit tinggi, baju jarang dan skirt singkat yang seksi
sambil diiringi pihak penganjur pertandingan dengan helikopter.."
"Setelah
sampai di sana mereka disambut oleh pihak penganjur di istana itu dan
dibahagikan kepada dua kumpulan. Setiap kumpulan akan melalui dua laluan yang
berbeza. Pertandingannya ialah laluan berhalangan untuk sampai ke destinasi
yang terakhir. Ia seperti pertandingan dalam rancangan ‘Wipe Out’ di dalam TV
jika kamu pernah melihatnya. Setelah sampai di destinasi terakhir pula, para
peserta yang berjaya dari dua kumpulan itu akan bertarung pula sesama sendiri.
Jika pihak lawan tewas maka peserta yang masih bertahan akan dianggap sebagai
pemenang dan mendapat wang bernilai jutaan USD. Laluan berhalangan itu sangat
berbahaya, namun para peserta hanya melakukannya dengan memakai kasut tumit
tinggi dan pakaian seksi mereka sambil disaksikan dan disorak oleh para jutawan
yang melihat aksi-aksi mereka tersebut dari sebuah ruang balkoni bilik mewah di
istana tersebut. Saya tidak pasti ianya dirakam ataupun tidak."
"Terus-terang,
ia adalah pertandingan membunuh diri yang paling gila…"
"Ok,
kemudian.. apa yang berlaku?" tanya saya mencelah dengan rasa teruja.
"Satu
ketika di salah satu trek, para peserta dikehendaki memanjat palang-palang besi
untuk melintasi salah sebuah menara di istana tersebut, palang tersebut sangat
tinggi dan di bawahnya ada kolam renang. Di satu sudut yang lain, para jutawan
pula menyaksikan aksi-aksi peserta dari dalam sebuah bilik mewah sambil
menikmati hidangan dan minuman arak yang mahal bersama gadis-gadis
mereka."
"Ramai
perserta ketika itu yang terjatuh ke bawah ketika cuba memanjat palang-palang
besi tersebut. Ada yang terhempas ke lantai dan kepalanya pecah. Ada yang patah
tangan dan kaki. Ada yang pecah badannya. Kolam renang tersebut penuh dengan
darah dan ada yang mati lemas ketika jatuh ke dalamnya setelah gagal untuk
berenang keluar dari kolam renang yang dalam tersebut. Mereka semua para gadis
yang tidak berupaya dan mereka sangat kasihan."
"Yang
lebih keji daripada itu, mereka yang tercedera ketika itu langsung tidak
dibantu.. malah dibiarkan sahaja untuk disorak dan ditertawakan oleh para
jutawan yang melihat mereka sepanjang pertandingan. Akhirnya apa yang saya
tahu, hanya dua orang gadis sahaja yang berjaya melepasi laluan itu daripada
keseluruhan 30 orang gadis yang menyertainya... saya dikhabarkan walaupun dua
gadis itu akhirnya berjaya, mereka kini hidup dengan trauma dan penuh ketakutan
di sisi para jutawan gila tersebut. Mereka kini hidup seperti hamba di dalam
istana zaman purba. Tiada tamadun dan tiada akhlak... hanya menjadi hamba
suruhan lelaki-lelaki kaya yang merantai hidup mereka sahaja. Lebih malang lagi
gadis-gadis yang sudah terjerumus ke sana tidak boleh lari daripada golongan
kaya gila itu. Jika cuba untuk lari kemungkinan mereka akan dibunuh."
Sampai
di sini tiba-tiba gadis itu sebak... wajahnya berubah dan air matanya
serta-merta mengalir laju dan menangis teresak-esak.
Saya
sudah tentu sangat terkejut dengan perubahannya secara tiba-tiba itu, dan cuba
memujuknya,
"Hey,
please don't cry here… people will look to us. Please calm down. I'm sorry so
much to make you telling me this story…" kata saya kepadanya perlahan
dengan suara hampir berbisik.
Namun
saya membiarkannya dengan keadaannya itu untuk beberapa ketika. Kemudian saya
berkata kepadanya, "Saya tak tahu apa sebenarnya yang membuatkan kamu
menangis, tapi saya minta maaf banyak-banyak kerana disebabkan saya kamu
menangis. Sebenarnya saya sangat terkejut mendengar cerita kamu. Ia sesuatu
yang sangat dahsyat yang belum pernah saya mendengarnya sebelum ini.."
"Ia
ok... ia ok... ia ok... (sambil mengesat air matanya dengan sapu tangan
miliknya)... maafkan saya kerana tiba-tiba bersikap pelik tadi. Kamu tahu,
salah seorang gadis yang mati kerana pecah badannya ketika jatuh di pinggir
lantai kolam renang itu ialah adik perempuan saya sendiri... Ibu saya membunuh
diri kerananya dan bapa saya menjadi gila. Setelah ibu saya membunuh diri bapa
saya sakit selama berbulan-bulan lalu akhirnya meninggal dunia."
Pada
waktu ini dia kembali diam beberapa minit… saya pula tergumam dan tidak terkata
apa-apa… setelah itu dia menarik nafasnya dalam-dalam lalu menyambung kembali
kisahnya,
"Ibu-bapa
saya hanya memiliki dua orang anak perempuan dan adik saya sudah menjadi mangsa
kepada nafsu gila orang-orang kaya Korea."
"Sejurus
selepas tamat pertandingan tersebut, saya dihubungi seorang wanita yang
memberitahu bahawa adik saya telah pengsan dan cedera parah kerana kemalangan
dan saya dikehendaki ke hospital untuk melihatnya. Wanita itu menyatakan dia
mendapat nombor telefon saya daripada adik saya. Apabila saya dan ibu-bapa saya
tiba ke hospital, kami dikhabarkan adik saya telahpun meninggal dunia. Saya
memarahi wanita tersebut dan mendesaknya bertubi-tubi untuk menceritakan kisah
sebenar kepada saya... dan akhirnya selepas beberapa hari dia menceritakan
keseluruhan kisah ini kepada saya. Setelah tahu kisah sebenar, kami sekeluarga
meraung dan menangis macam orang gila kerana tidak pernah menyangka adik saya
sanggup menyertai pertandingan gila tersebut hanya untuk hidup mewah sebagai
gadis simpanan orang-orang kaya. Namun wanita itu berkata ia adalah pilihan
adik saya sendiri."
"Beberapa
minggu kemudian ibu saya membunuh diri pada satu malam dengan menelan aspirin
sebanyak 200 biji. Keesokan harinya ibu saya koma dan apabila saya dan bapa menghantarnya
ke hospital, pada malam harinya dia meninggal dunia. Bapa saya pula selepas itu
sakit jiwa sebelum mengalami sakit tenat yang membawanya meninggal dunia. Saya
pula hidup tidak menentu dan mujurlah masih mempunyai seorang sahabat wanita
beragama Islam yang terus berjuang agar saya dapat meneruskan kehidupan dengan
tabah. Berulang-ulang kali dia mengingatkan kepada saya bahawa kehidupan ini
adalah anugerah Tuhan dan orang yang beriman tidak akan berputus asa."
"Dan
kerana itu saya melihat kamu kini sebagai seorang Muslimah..?" saya
mencelah ceritanya.
"Alhamdulillah,
terima kasih kepada Tuhan. Sahabat saya itu telah membawa saya berjumpa dengan
seorang imam di bandar Seoul untuk memulihkan semangat hidup saya. Imam itu
mula bercerita kepada saya tentang Allah, Islam dan Nabi Muhammad. Saya
menerima segala ajarannya dengan lapang hati seakan-akan ia satu-satunya
pilihan yang ada. Benar, Islam adalah satu cahaya yang sangat terang seperti
matahari dan mendamaikan seperti bulan purnama yang kembali menyuluh seluruh
hidup saya dan saya terus berubah kepada agama ini tanpa ragu-ragu. Dan kamu
tahu tak, jiwa saya berasa sangat-sangat tenang dan damai ketika mendengar
ayat-ayat Al-Quran yang berkumandang di ibu pejabat markaz Islam di bandar Seoul.
Imam itu salah seorang ahli pengurusnya. Saya tidak pernah mendengar
muzik-muzik yang sangat indah seperti ayat-ayat Al-Quran sebelum ini dalam
hidup saya."
Kini
suara gadis itu kembali gagah seraya berkata, "Alhamdulillah, saya
bersyukur kerana diselamatkan Tuhan dan kembali dihidupkan semula sebagai
seorang Islam setelah saya kehilangan segala-galanya akibat kekeringan jiwa
masyarakat dunia terutama masyarakat Korea yang hidup sesat tanpa agama. Mereka
semua telah sesat tanpa panduan hidup yang benar daripada Tuhan."
Setelah
itu dia diam dan meminum minumannya...
"Kisah
kamu amat menarik tetapi menakutkan. Adakah kamu sudah mengambil tindakan
undang-undang bagi pihak adik kamu, atau melaporkannya kepada media atau
berbuat sesuatu?" ujar saya kembali kepadanya.
"Lupakan
sahajalah, saya sudah melaporkannya kepada pihak polis, sudah menceritakannya
kepada beberapa orang wartawan dan melaporkannya secara bersumpah kepada
beberapa orang peguam. Pihak polis enggan melakukan pendakwaan kerana tiada
bukti-bukti yang kukuh mengenainya. Tiada video dan tiada saksi-saksi lain yang
mahu tampil kepada pihak berkuasa selain saya. Mungkin ada namun ia tidak
memadai. Wanita yang membawa adik saya ke hospital itu juga sudah menghilangkan
diri. Saya cuba menghubungi nombor telefon bimbitnya berali-kali namun dia
tidak dapat dihubungi. Kali terakhir saya mendengar tentangnya melalui seorang
peguam yang mendapat khabarnya daripada seorang detektif polis ialah dia sudah
meninggal dunia akibat kemalangan. Para peguam lain dan wartawan yang saya
ceritakan kisah ini kepada mereka kesemuanya telah diugut untuk tidak
mendedahkannya kepada umum. Mungkin begitu juga yang terjadi kepada
mangsa-mangsa yang lain. Laporan polis di sana pula menyatakan gadis-gadis yang
meninggal dunia akibat cedera parah itu adalah kerana rabung palang-palang besi
di istana itu roboh ke bawah ketika mereka semua sedang berada di atasnya
kerana ketika pihak polis sampai di sana palang-palang besi itu sudah pun
dirobohkan. Manakala mangsa-mangsa yang masih hidup setelah kecederaan masih
mengalami trauma yang dahsyat dan ada yang cacat seumur hidup walaupun mereka
mendapat bayaran ganti rugi insurans yang banyak. Apa yang saya tahu mereka
semuanya diugut akan dibunuh jika mendedahkan peristiwa sebenar kepada pihak
polis. Yang pasti di sana wujud monster-monster besar yang menutupi kes ini
termasuk menteri-menteri kerajaan… ia berkaitan dengan wang dan kuasa. Dan
sudah tentu kamu tahu apa yang wang dan kuasa boleh buat pada kita."
jawabnya lagi dengan panjang lebar yang sarat dengan hujah.
"Oh,
ok... ianya sesuatu yang gila pernah saya dengar. Jadi sekarang berapa umur
kamu dan mengapa kamu berada di Malaysia? Dan... apa yang kamu sedang buat di
Malaysia sekarang? Dan lagi… bilakah peristiwa sedih itu berlaku?" tanya
saya bertubi-tubi kepadanya dengan rasa ingin lebih tahu.
"Kamu
agak saya berumur berapa…?"
"Saya
tidak mahu mengagak dan saya tidak tahu berapa umur kamu."
"Kisah
sedih itu hanya berlaku pada tahun lepas, dan saya tidak mahu sebut apa bulan
dan harinya. Cukuplah kamu tahu ia berlaku pada tahun lepas. Kini saya berumur
29 tahun dan saya di berada di Malaysia kerana ingin cuba mendaftar kursus
bahasa Arab di ******* University dengan sahabat wanita Muslimah saya dari Korea
itu. Tadi saya bertemu-janji dengannya untuk bertemu di sini. Kami rakan
serumah dan dia tadi menziarahi rakan kami orang Malaysia di kawasan ini. Saya
sampai ke sini lewat sedikit dengan teksi.” jawabnya berterus-terang dengan
nada jujur.
"Oh,
kamu sungguh berani. Di Malaysia tidak ramai wanita yang berani naik teksi
seorang diri pada waktu malam. Terima kasih kerana menceritakan kisah ini
kepada saya.. saya amat menghargainya dan mudah-mudahan suatu hari Allah akan
membalas dendam untuk kamu dan mangsa-mangsa lain yang telah teraniaya..."
kata saya lagi kepadanya sambil mengangguk-angguk.
"Sudah
tentu...! Suatu hari nanti semua orang dan dunia akan tahu mengenai kejahatan
tersembunyi di bandar Gangnam yang dilaknat itu!" tukasnya dengan nada
yang keras.
"Kamu
ingat artis yang mecipta lagu Gangnam gila itu menyukai cara hidup bandar
Gangnam..? Saya rasa dia amat sinis tentangnya dan dia pernah berasa tertekan
dengan cara hidup di sana.. namun kini dia sudah menjadi sebahagian daripada
mereka. Semoga Tuhan melaknat mereka semua. Saya menyerahkan kepada Tuhan untuk
membalas segala kejahatan mereka."
"Whoa...
kamu nampaknya sangat marah dengan Gangnam..." balas saya sambil mengangkat
kedua-dua kening dan menyedut jus tembikai susu yang masih berbaki menggunakan
straw.
"Oh,
jangan kamu berpura-pura seperti tiada perasaan dan tidak mempunyai
perikemanusiaan.." balasnya pantas kepada saya.
"Tidak,
tidak... saya benar-benar terkejut dan simpati dengan kisah kamu. Bahkan di
sebalik itu, saya dapat melihat kamu seorang yang tabah, kuat dan berani."
balas saya kembali untuk menenangkannya.
"Oh
ya, adakah kamu datang sini dengan biaya sendiri? Bagaimana dengan suami kamu dan
kerjaya kamu di Korea?" tanya saya kepadanya dengan meneka-neka.
"Hahaha,
saya masih belum bersuami dan saya telah menjual segala apa yang saya ada di
Korea untuk datang ke sini. Saya mahu belajar bahasa Arab di sini dan merancang
mahu ke Mesir atau ke Islamic Center di Chicago selepas ini untuk belajar lebih
banyak tentang Islam di sana. Kamu juga tahu, Timur Tengah kini tidak stabil
dan saya masih ragu-ragu untuk ke Timur Tengah. Imam yang mengislamkan saya itu
pernah memberitahu saya bahawa dahulunya dia belajar bahasa Arab dan agama
Islam di Syria di sebuah universiti yang namanya An-Nur." jawabnya dengan
reaksi yang kembali ceria sambil tersenyum.
"Oh
dulu saya juga pernah belajar di Syria, dan universiti itu namanya Universiti
Abu Nur." jawab saya.
"Oh
benarkah? Ceritakan kepada saya tentang Syria... saya bertuah bertemu dengan
kamu." tukasnya teruja dengan muka yang sangat gembira.
Sesampainya
di sini perbualan kami mula bertukar topik kepada isu Syria dan pergolakan di
Timur Tengah serta topik-topik lain yang sudah tiada kena-mengena dengan
Gangnam. Saya juga bercerita sedikit sebanyak tentang latar belakang diri saya
kepadanya sebagai membalas kisah hidupnya yang telah dia ceritakan kepada saya.
Lama
juga kami bersembang sejak jam 9.00 malam tadi. Kira-kira jam 10.30 malam rakan
gadis itu datang ke kawasan kedai tersebut dan gadis itu meminta izin untuk
pergi. Dia membayar segala pesanan makanan saya dan memperkenalkan dirinya
sebagai Sofiyyah dan rakannya bernama Nadiah. Katanya nama mereka berdua
diberikan oleh imam yang mengislamkan mereka di bandar Seoul merangkap guru
murabbi mereka di Korea Selatan. Saya pula beruntung kerana makan malam saya
ada orang belanja.
Kedua-dua
mereka pernah lahir sebagai manusia yang tidak pernah menganut sebarang agama
di Korea namun kini Allah telah memuliakan mereka dengan agama Islam yang suci.
Saya tidak tahu sejauh mana kebenaran cerita Sofiyyah tentang kisah yang
berlaku kepada adiknya di Gangnam. Kebenaran kisah tersebut saya serahkannya
bulat-bulat kepada Allah. Namun saya berminat untuk kongsikan kisah ini kepada
para pembaca agar para pembaca dapat membuat penilaian sendiri. Kisah tersebut
mungkin benar dan mungkin tidak benar. Namun, di sebalik kisah yang saya
pindahkan daripada Sofiyyah ini, dapatlah kita mengetahui sesuatu dan
menjadikannya sebagai pengajaran.
Apa
yang saya suka kongsi satu iktibarnya ialah, saya melihat betapa Sofiyyah amat
bersyukur dan menghargai nikmat Islam yang dikurniakan Allah kepadanya. Dia
sanggup meninggalkan negerinya dan menjual segala hartanya demi mempelajari
bahasa Arab di bumi Malaysia bagi memahami Al-Quran, malah dia bercita-cita
untuk terus mengembara bagi mempelajari ilmu-ilmu Islam dan menjadi seorang
pendakwah Muslimah di negara Korea untuk Islamkan lebih ramai penduduk Korea.
Dia seorang yang amat berani, tabah dan cekal. Lihat saja, bagaimana dia
seorang diri berani menyapa seorang lelaki asing seperti saya di awal kisah
tadi. Apa yang saya lihat padanya, tiada sebarang ketakutan di dalam dirinya
dan harapan hidupnya telah seratus-peratus diserahkan kepada Allah. Dia telah
menjual seluruh jiwa dan raganya hanya kepada Allah semata-mata. Di sebalik
kekuatan dirinya sekarang, saya juga yakin di belakangnya ada seorang murabbi
mursyid yang hebat, iaitu sang imam yang telah mengislamkannya. Biasanya di
sebalik orang-orang yang hebat, di belakang mereka sudah tentu ada para
pendidik yang jauh lebih hebat lagi. Di dalam hati saya berkata sudah tentu
peribadi sang imam itu lebih hebat lagi kerana berjaya membaiki diri Sofiyyah
menjadi lebih kuat sepertimana sekarang. Ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk
memulihkan, mendidik dan membangunkan jiwa manusia yang sudah rosak teruk
seperti Sofiyyah dan menjadikannya seorang srikandi yang gagah perkasa jiwanya.
Sepanjang
berjalan kaki pulang ke rumah, saya banyak tertanya-tanya di dalam hati betapa
kita ini begitu leka dan tidak bersyukur dengan nikmat beragama Islam yang
telah Allah anugerahkan kepada kita sejak kita dilahirkan ke alam dunia.
Di
dalam hati saya sepanjang pulang, "Allahu Rabbi.... alhmdulillah,
alhamdulillah, alhamdulillah." Sambil kaki saya sekali-sekala menyepak
batu-batu kecil di jalanan dan kedua-dua tangan dimasukkan ke dalam poket jubah
putih kiri dan kanan seraya muka menunduk ke arah tanah...
Sehingga
saat ini saya masih tetap berfikir sendirian, kisah Sofiyyah ini ialah apa yang
saya dengar berlaku di negara Korea yang maju.. bagaimana pula dengan
kisah-kisah gelap seperti kisah gadis-gadis Melayu Islam yang menjadi pelacur
kelas atasan di negara kita. Sudah tentu banyak juga kisah-kisah gelap yang
tidak pernah kita dengar tentang mereka. Sebelum ini saya pernah juga mendengar
mengenai kisah-kisah kongsi gelap di negara kita yang dilindungi oleh
orang-orang besar.
Allahu
Allah, betapa teruknya manusia menjadi hamba wang dan kuasa pada zaman ini...
Ya Allah, selamatkanlah kami di dunia dan di akhirat...
No comments :
Post a Comment
Ada robot tak??? Setiap komen yang di tinggalkan disini akan di kunjung balas ke blog tuan-tuan sebagai tanda terima kasih... Sudi-sudilah tinggalkan komen kome kat sini ye... Terima kasih...