Alhamdulillah. Kita bertemu semula dengan bulan Rejab. Di alam maya ini, begitu banyak pembohongan berkenaan bulan Rejab yang disebarkan oleh mereka yang tidak bertangungjawab.
Antara kelebihan bulan Rejab dan amalan khusus padanya
yang bersumberkan laporan / hadis palsu ialah:
- Hendaklah kamu memuliakan bulan Rejab nescaya Allah muliakan kamu dengan seribu kemuliaan di hari Qiamat Laporan ini palsu kerana ia direka oleh seorang pelapor hadis yang dilabel oleh ulama hadis sebagai seorang pembohong iaitu Abu al-Barakat Hibatullah ibn al-Mubarak al-Saqati.
- Bulan Rejab Bulan Allah, Bulan Syaaban bulanku, dan bulan Ramadhan bulan umatku. Laporan ini palsu kerana ia direka oleh seorang pelapor hadis yang dilabel oleh ulama hadis sebagai seorang pembohong iaitu Abu Bakar Muhammad bin Hasan al-Naqqash. Dalam rantaian pelapor hadis ini juga terdapat individu yang tidak dikenali seperti al-Kassa'i.
- Kelebihan bulan Rejab dari segala bulan seperti kelebihan Quran atas segala zikir. Laporan ini palsu kerana ia direka oleh seorang pelapor hadis yang dilabel oleh ulama hadis sebagai seorang pembohong iaitu Abu al-Barakat Hibatullah ibn al-Mubarak al-Saqati.
- Sesiapa berpuasa tiga hari pada bulan Rejab, Allah menuliskan untuknya pahala berpuasa sebulan. Sesiapa yang berpuasa tujuh hari ditutup baginya tujuh pintu neraka. Sesiapa berpuasa lapan hari, Allah membuka baginya lapan pintu syurga. Sesiapa berpuasa setengah bulan Rejab, Allah menuliskan untuknya memperoleh keredaanNya, sesiapa yang ditulis baginya keredaanNya, orang itu tidak akan diazab. Sesiapa yang berpuasa sebulan Rejab, Allah akan menghisab orang itu di padang Mahsyar dengan hisab yang mudah. Laporan ini palsu kerana ia direka oleh seorang pelapor hadis yang dilabel oleh ulama hadis sebagai seorang pembohong iaitu Aban bin Abi 'Iyash. Laporan-laporan lain yang menjelaskan kelebihan berpuasa mengikut bilangan hari di bulan Rejab juga laporan palsu, antaranya direka oleh Uthman bin Matar, Harun bin 'Antarah, dan Farrat bin al-Sa'ib.
- Sesiapa sembahyang maghrib pada hari pertama bulan Rejab, kemudian selepas itu dia bersembahyang sunat 20 rakaat dengan sepuluh kali salam, setiap rakaat dibaca surah al-Fatihah dan selepas itu membaca surah al-Ikhlas sekali, adakah kamu tahu pahalanya? Laporan ini palsu kerana ia direka oleh seorang pelapor hadis yang dilabel oleh ulama hadis sebagai seorang pembohong iaitu al-Husayn bin Ibrahim. Terdapat laporan palsu lain yang direka menjelaskan kelebihan tertentu jika bersembahyang sunat dengan bilangan rakaat tertentu dengan bacaan tertentu pada bulan Rejab. Antara individu lain yang bertanggungjawab membuat laporan palsu tersebut ialah Ali bin Abdullah bin Jahdam, Aban bin Abi 'Iyash. Sembahyang tersebut juga diistilahkan sebagai sembahyang sunat Ragha'ib.
- Bersedekah pada bulan Rejab dijauhkan Allah daripada api neraka. Laporan ini palsu kerana ia direka oleh seorang pelapor hadis yang dilabel oleh ulama hadis sebagai seorang pereka hadis iaitu Aban bin Abi 'Iyash.
HARAM MENYEBAR HADIS PALSU
Al-Mughirah bin Syu'bah melaporkan, Nabi Muhammad s.a.w
bersabda, "Sesungguhnya pembohongan yang dilakukan ke atasku adalah tidak
sama dengan pembohongan yang dilakukan ke atas orang lain. Sesiapa yang membuat
pembohongan terhadapku dengan sengaja, maka bersedialah dia dengan tempat
duduknya di dalam api neraka."
(Hadis sahih direkod oleh Imam al-Bukhari).
Syeikh Abu Asma' Ibrahim bin Ismail Ali 'Asr menjelaskan
dalam pendahuluannya kepada suntingan karya Imam Ibn Hajar al-'Asqalani yang
bertajuk 'Tabyin al-'ajab bi ma warada fi fadhl Rajab', ramai dalam kalangan
pendakwah, penceramah, guru agama, khatib yang tidak sensitif terhadap hadis
maudhuk, sehingga mereka menyampaikannya kepada masyarakat tanpa berusaha
mengenalpasti status sesuatu hadis. Perkara merbahaya ini boleh menceburkan
mereka dan anggota masyarakat yang menyebarkan hadis palsu dalam ancaman Nabi,
"Sesiapa yang berdusta terhadapku, maka bersedialah tempatnya di dalam api
neraka". Walaupun mereka tidak berniat untuk melakukan pendustaan terhadap
Rasulullah, tetapi dengan tindakan mereka menyebarkan hadis palsu sedangkan
mereka sudah dijelaskan kepalsuan hadis itu, mereka telah terjebak dalam
melakukan pendustaan terhadap Rasulullah saw.
Abu Hurairah melaporkan, Nabi Muhammad saw bersabda,
"Cukuplah seseorang itu sudah dianggap berdosa dengan dia menyebarkan
segala berita yang didengar tanpa disiasat terlebih dahulu."
(Hadis sahih
direkod oleh Imam Muslim).
Umat Islam tidak perlu disajikan dengan pahala dan
fadhilat untuk melakukan amalan khusus hanya di bulan Rejab sahaja, sedangkan
ia bersumberkan laporan/hadis palsu yang merupakan pembohongan terhadap Nabi
Muhammad saw. Adalah amat baik kita dapat melazimi diri dengan melaksanakan
amal ibadah secara berterusan yang bersumberkan dalil yang benar daripada
al-Quran dan hadis sahih; tentang kelebihan menghidupkan malam dengan solat
sunat seperti tahajud dan witir, puasa sunat isnin khamis, puasa sunat hari ke
13, 14, dan 15 setiap bulan, puasa sunat selang sehari seperti cara puasa Nabi
Daud.
Marilah sama-sama kita memelihara kemuliaan bulan haram
seperti bulan Rejab ini daripada dicemari dengan hadis palsu. Sili rujuk ke portal E-Fatwa.
Wallahu a'lam.
itu lah tiap-tiap tahun
ReplyDeletemasih ada yang nak sebar hadis palsu ni