Sunday, March 11, 2018

Kuliah : Sebahagian sangkaan itu dosa dan sebahagian lagi tidak

Sekadar perkongsian untuk segmen kuliah pagi ini. Semoga kita mendapat manfaat darinya.

Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ ۖ وَلَا تَجَسَّسُوا

Maksudnya: "Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang;"  [Surah al-Hujurat:12]

Ayat ini melarang kita bersangka buruk kerana sebahagian sangkaan itu boleh membawa kepada dosa. Namun ada sangkaan yang dibenarkan oleh syarak. Contohnya: Jika kita melihat seseorang yang memasuki tingkap rumah orang lain lalu menyangka dia bertujuan untuk mencuri. Jika tidak boleh menyangka begitu, tentulah sesiapa sahaja bebas melakukan kejahatan.

Husnuzon

Gambar ehsan Google.

Kemudian Allah melarang perbuatan mencari kesalahan orang lain. Namun larangan tersebut hanya apabila keaiban tersebut disembunyikan oleh pelakunya. Kata Imam al-Qurtubi berkenaan ayat di atas:

ومعنى الآية : خذوا ما ظهر ولا تتبعوا عورات المسلمين ، أي : لا يبحث أحدكم عن عيب أخيه حتى يطلع عليه بعد أن ستره الله .

"Makna ayat ini: Ambillah apa yang zahir (nampak jelas) dan janganlah seseorang kamu mencari-cari keaiban saudaranya sehingga menyelongkarnya setelah Allah menutupnya."

Nabi SAW bersabda:

وَمَنْ سَتَرَ عَلَى مُسْلِمٍ فِي الدُّنْيَا سَتَرَ اللَّهُ عَلَيْهِ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ

"Sesiapa yang menutupi (aib) seorang muslim sewaktu di dunia, maka Allah akan menutup (aibnya) di dunia dan akhirat. [Sunan al-Tirmizi]

Sabdanya lagi:

لَا يَسْتُرُ عَبْدٌ عَبْدًا فِي الدُّنْيَا إِلَّا سَتَرَهُ اللَّهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

“Tidaklah seorang hamba menutupi (aib) seorang hamba yang lain di dunia, melainkan Allah akan menutupi (aib)nya di hari Kiamat kelak.” [Sahih Muslim]

Pengajaran: Kita hendaklah menjauhi sangkaan buruk terhadap sesiapa pun bagi mengelakkan berlakunya fitnah. Namun Islam juga mengajar kita tidak berlebihan dalam bersangka baik kerana hanya Allah SWT yang mengetahui segala yang tersembunyi.



1 comment :

  1. perkongsian yang bagus dan boleh muhasabah diri bila membaca :)

    ReplyDelete

Ada robot tak??? Setiap komen yang di tinggalkan disini akan di kunjung balas ke blog tuan-tuan sebagai tanda terima kasih... Sudi-sudilah tinggalkan komen kome kat sini ye... Terima kasih...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...