Saturday, November 4, 2017

Kuliah : Tiga ciri-ciri manusia yang tidak mampu dikuasai oleh hasutan syaitan

Dalam entry hari ini, teman hendak memanjang perkongsian kuliah berkenaan hasutan syaitan. Segment kuliah  kali ini membicarakan tiga diri-ciri manusia yang tidak mampu di kuasai hasutan syaitan.

Godaan Syaitan
Gambar ehsan Google.

PERTAMA:

Mereka yang beriman dan bertawakal (berserah) hanya kepada Allah s.w.t sahaja serta tidak pula mempersekutukanNya dengan segala sesuatu selainNya baik dalam bentuk iktikad (keyakinan), ucapan mahupun perbuatan. Firman Allah S.W.T:

‎إِنَّهُ لَيْسَ لَهُ سُلْطَانٌ عَلَى الَّذِينَ ءَامَنُوا وَعَلَى رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ إِنَّمَا سُلْطَانُهُ عَلَى الَّذِينَ يَتَوَلَّوْنَهُ وَالَّذِينَ هُمْ بِهِ مُشْرِكُونَ.

“Sesungguhnya syaitan itu tidak ada kekuasannya atas orang-orang yang beriman dan bertawakkal kepada Rabbnya. Sesungguhnya kekuasaannya (syaitan) hanyalah atas orang-orang yang mengambilnya sebagai pemimpin dan atas orang-orang yang mempersekutukannya dengan Allah.” (Surah An Nahl, ayat 99-100)

Antara amalan yang boleh merosakkan keimanan seseorang kepada Allah ialah mengunjungi dan mempercayai kata-kata para bomoh (dukun), meramal nasib baik dan buruk melalui objek tertentu, meminta hajat kepada selain Allah seperti jin, pepohon dan sebagainya.

KEDUA:

Mereka yang ikhlas kepada Allah s.w.t dalam setiap amal soleh yang dilakukan. Lawan kepada ikhlas ialah riya' iaitu melakukan sesuatu ibadah demi mengharapkan sanjungan, pujian dan lain-lain seumpama. Berkata Iblis laknatullah sebagaimana yang dirakamkan di dalam al-Quran:

‎قَالَ فَبِعِزَّتِكَ لأُغْوِيَنَّهُمْ أَجْمَعِينَ إِلاَّ عِبَادَكَ مِنْهُمُ الْمُخْلَصِينَ

“(Berkata Iblis): Demi kekuasaanMu, aku akan menyesatkan mereka (manusia) semuanya, kecuali para hambaMu yang mukhlasin (orang orang yang ikhlas)  di antara mereka”. (Surah Shad ayat 82-83)

Di antara tanda-tanda seseorang ikhlas kepada Allah ialah, dia tidak kembang apabila dipuji dan tidak pula kendur apabila dikeji. Pujian dan kejian orang tidak akan mempengaruhi kualiti dan kuantiti amalnya kerana yang menjadi tujuannya dalam beribadah ialah Allah, bukan manusia. Oleh itu, dia sentiasa istiqamah (konsisten) dalam beramal soleh, baik secara terang-terangan mahupun tersembunyi, ketika dipuji mahupun dikeji.

KETIGA:

Mereka yang berpegang teguh kepada ajaran Allah yang diturunkan melalui perantaraan al-Quran dan al-Sunnah NabiNya yang sahih. Firman Allah s.w.t:

وَمَن يَعْشُ عَن ذِكْرِ الرَّحْمَنِ نُقَيِّضْ لَهُ شَيْطَانًا فَهُوَ لَهُ قَرِينٌ

“Sesiapa yang berpaling dari pengajaran (Allah) Yang Maha Pemurah, Kami adakan baginya syaitan (yang menyesatkan), maka syaitan itulah yang menjadi teman yang selalu menyertainya.” (Surah az Zukhruf ayat 36)

FirmanNya lagi:

وَمَن يُشَاقِقِ الرَّسُولَ مِن بَعْدِ مَاتَبَيَّنَ لَهُ الْهُدَى وَيَتَّبِعْ غَيْرَ سَبِيلِ الْمُؤْمِنِينَ نُوَلِّهِ مَاتَوَلَّى وَنُصْلِهِ جَهَنَّمَ وَسَآءَتْ مَصِيرًا

“Dan sesiapa yang menentang (ajaran) Rasul sesudah jelas kebenaran baginya dan mengikuti jalan yang bukan jalan orang-orang mukmin (para sahabat), Kami biarkan dia di dalam kesesatan yang telah dikuasainya itu dan Kami masukkan dia ke dalam (neraka) Jahanam dan Jahanam itu seburuk-buruk tempat kembali." (Surah An Nisa` ayat 115)

FirmanNya lagi:

‎إِنَّ عِبَادِي لَيْسَ لَكَ عَلَيْهِمْ سُلْطَانٌ إِلاَّ مَنِ اتَّبَعَكَ مِنَ الْغَاوِينَ

“Sesungguhnya hamba-hambaKu tidak ada kekuasaan bagimu (Iblis) terhadap mereka, kecuali orang-orang yang mengikutimu iaitu orang-orang yang sesat.” (Surah Al Hijr ayat 42)

Sabda Nabi s.a.w:

‎تَرَكْتُ فِيْكُمْ أَمْرَيْنِ لَنْ تَضِلُّوْا مَا تَمَسَّكْتُمْ بِهِمَا : كِتَابَ اللهِ وَ سُنَّةَ رَسُوْلِهِ

"Aku telah tinggalkan pada kamu dua perkara (yang) kamu tidak akan sesat selama berpegang kepada keduanya (iaitu) Kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya." (Hadis riwayat Al-Hakim dalam Al-Mustadrak dan Imam Malik dalam Al-Muwaththa')

Wallahu a'lam.

SILA SHARE DAN SEBARKAN

No comments :

Post a Comment

Ada robot tak??? Setiap komen yang di tinggalkan disini akan di kunjung balas ke blog tuan-tuan sebagai tanda terima kasih... Sudi-sudilah tinggalkan komen kome kat sini ye... Terima kasih...