Kehebatan tentera Islam pada zaman Rasulullah dicatatkan dalam Peperangan Yarmuk pada tahun ke-13 Hijrah antara tentera Rom dan Islam.
Peperangan itu membuktikan jumlah tentera yang ramai bukan senjata terkuat bagi mengalahkan musuh. Peperangan itu membuktikan keazaman, ketaqwaan dan semangat jitu untuk mempertahankan agama Allah menjadi penentu segala-galanya.
Peperangan Yarmuk tercatat sebagai peristiwa gilang gemilang dalam sejarah Islam. Dalam peperangan pada Jamadilakhir itu, 100,000 tentera Rom kalah kepada tentera Islam yang hanya 30,000 orang.
Panglima Islam terbilang, Khalid Al Walid dan Abu `Ubaidah memimpin pasukan Islam. Kemenangan berpihak kepada tentera Islam.
Ada pandangan yang mengatakan peperangan itu berlaku pada Rejab tahun ke-15 Hijrah.
Di sebalik kemenangan itu, turut tercatat bagaimana Islam begitu menghormati hak musuh. Mereka yang ditawan tidak dilayan seperti musuh atau hamba, sebaliknya hak mereka tidak dicabul.
Pekerti yang ditunjukkan pemimpin dan pengikut Islam itu membuatkan musuh yang menentang Islam menerima agama Allah ini dengan hati reda. Islam jelasnya adalah agama keamanan.
Kisah itu dicatat dalam peristiwa seorang panglima Rom bernama George mendapat petunjuk kepada agama Islam.
Dalam peperangan Yarmuk, George dikisahkan memanggil Khalid Al-Walid. Kedua-dua panglima itu saling mara hingga kepala kuda mereka bersentuhan.
George bertanya: “Wahai Khalid, aku meminta kamu berbicara dengan jujur dan jangan berdusta sedikit pun kerana Tuhan Yang Maha Mulia tidak pernah berdusta.
“Jangan pula kamu menipuku, kerana sesungguhnya orang yang beriman itu tidak akan berdusta di sisi Allah.”
Khalid menjawab: “Tanyalah apa yang ingin engkau tanyakan.”
George berkata: “Apakah Allah menurunkan kepada Rasulnya, Muhammad SAW satu pedang dari langit kemudian diberikannya kepadamu hingga jika kamu gunakan pedang itu untuk berperang, pasti kamu akan menang?”
Jawab Khalid: “Tidak!”
George bertanya lagi: “Apakah sebabnya kamu digelar Saifullah (Pedang Allah)?”
Khalid menjawab: “Ketika Allah mengutus Nabi Muhammad, seluruh kaumnya sangat memusuhinya, termasuk aku. Aku adalah orang yang paling membencinya.
“Selepas Allah memberikan hidayah-Nya kepadaku, maka aku pun masuk Islam. Ketika aku masuk Islam Rasulullah menerimaku dan memberi gelaran kepadaku `Saifullah’ (pedang Allah).”
George bertanya lagi: “Jadi apa tujuan kamu berperang?”
Jelas Khalid: “Kami ingin mengajak kamu bersaksi bahawa tidak ada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu adalah utusan Allah.
“Kami juga ingin mengajak kamu untuk mempercayai bahawa segala apa yang disampaikan oleh Nabi Muhammad itu adalah benar.”
George kemudian mengemukakan soalan kepada Khalid: “Apakah hukumannya apabila orang itu tidak mahu menerimanya?”
Balas Khalid: “Hukumannya adalah harus membayar jizyah, maka kami tidak akan memeranginya.”
George berkata: “Bagaimana kalau mereka tidak mahu membayar?”
“Kami akan mengumumkan perang kepadanya,” kata Khalid.
George bertanya: “Bagaimanakah kedudukannya jika orang masuk Islam pada hari ini?”
Khalid menjawab: “Di hadapan Allah, kita akan sama semuanya, baik dia orang yang kuat, orang yang lemah, yang dulu atau yang kemudian masuk Islam.”
George bertanya lagi: “Apakah orang dulu masuk Islam kedudukannya akan sama dengan orang yang baru memeluk Islam?”
Khalid menjawab: “Orang yang datang kemudian akan lebih tinggi kedudukannya daripada orang yang terdahulu kerana kami yang terlebih dulu masuk Islam, menerima Islam ketika Rasulullah masih hidup dan kami dapat menyaksikan turunnya wahyu kepada Baginda.
“Sedangkan, orang yang masuk Islam kemudian, tidak menyaksikan apa-apa yang kami saksikan.
“Oleh itu, sesiapa saja yang memeluk Islam yang datang terakhir, maka dia akan lebih mulia kedudukannya, sebab dia masuk Islam tanpa menyaksikan bukti yang lebih meyakinkannya terlebih dulu.”
George bertanya: “Apakah yang kamu katakan itu benar?”
“Demi Allah, sesungguhnya apa yang aku katakan itu adalah benar,”jawab Khalid.
George berkata: “Kalau begitu aku akan percaya kepada apa yang kamu katakan itu. Mulai saat ini aku bertaubat untuk tidak lagi memusuhi Islam dan aku menyatakan diri masuk ke dalam agama Islam, wahai Khalid tolonglah ajarkan aku mengenai Islam.”
Lalu Khalid membawa George ke dalam khemahnya, kemudian menuangkan air ke dalam timba untuk menyuruh George bersuci dan mengerjakan solat dua rakaat.
Ketika Khalid dan George masuk ke dalam khemah, maka tentera Rom mengadakan serangan besar-besaran terhadap pertahanan umat Islam.
Selepas selesai mengerjakan solat, Khalid, George dan kaum Muslimin lainnya meneruskan peperangan sampai matahari terbenam. Pada saat itu kaum Muslimin mengerjakan solat Zuhur dan Asar dengan isyarat saja.
Dalam pertempuran itu, George yang bergabung dengan barisan kaum Muslimin itu syahid terbunuh.
Allahu a’lam bisshawab.
No comments:
Post a Comment
Ada robot tak??? Setiap komen yang di tinggalkan disini akan di kunjung balas ke blog tuan-tuan sebagai tanda terima kasih... Sudi-sudilah tinggalkan komen kome kat sini ye... Terima kasih...