Sunday, October 30, 2016

Kuliah : Wajib lengkapkan Surah Al-Fatihah

Entry kuliah pagi ini hanyalah ingin berkongsi kan satu persoalan yang diajukan berkenaan bacaan Surah Al-Fatihah semasa solat. Soalannya ada di kongsikan di bawah;

SOALAN INBOX:

Salam ustaz, sebagai contoh kalau imam baca Surah Al-Fatihah lepastu baca surah pendek saya tak sempat habiskan surah Al-Fatihah. Adakah saya perlu rukuk atau habiskan Surah Al-Fatihah baru rukuk?

Surah Al-Fatihah 

JAWAPAN:

1) Asasnya wajib membaca Surah Al-Fatihah pada setiap rakaat solat, jika tidak membaca Surah Al-Fatihah pada salah satu rakaat maka solat tidak sah kerana didasari oleh Hadith Rasulullah -sallallahu 'alaihi wa sallam- yang menyatakan, "Tidak sah solat bagi sesiapa yang tidak membaca Al-Fatihah", riwayat Imam Bukhari dan Muslim.

2) Begitu juga menurut asas mazhab Syafi'ie, jika seseorang itu lewat mengikuti imam sebanyak 2 rukun fi'li maka solatnya terbatal. Sebagai contoh mereka yang tiada keuzuran melambatkan bacaan Al-Fatihah dan surah sehingga imam sudah lengkap rukuk dan iktidal maka batal solatnya.

3) Namun bagi makmum yang mempunyai keuzuran iaitu masalah bacaan Al-Fatihah dalam tempoh yang terlalu lambat, maka menurut mazhab syafi'ie ini diberi kelonggaran untuk menghabiskan Al-Fatihah dalam tempoh TIGA RUKUN solat yang panjang iaitu 'rukuk' dan 'dua sujud'(manakala 'iktidal' dan 'duduk antara dua sujud' adalah rukun yang pendek).

4) Makmum diberi keuzuran agar tidak mengikuti imam sebanyak tiga rukun yang panjang pada keadaan-keadaan tertentu(rujuk no. 6), di mana makmum mesti rukuk sebelum imam bangun dari sujud kedua untuk qiyam pada rakaat atau bangun untuk tasyahhud. (Rujuk: al-Majmu', Imam Nawawi)

5) Jika makmum itu tidak rukuk setelah imam selesai dari sujud kedua, maka dia wajib berniat mufaraqah ATAU berniat untuk mengikuti pada had itu, ini bermakna dia tertinggal satu rakaat dan wajib ditambah setelah imam memberi salam. (Rujuk: Taqrirat Sadidah)

6) Jika dapat menghabiskan Surah Al-Fatihah dan rukuk sebelum imam habis sujud kedua maka dia tidak perlu berniat mufaraqah bahkan dia mendapat rakaat itu bersama imam, oleh tidak perlu menambah rakaat setelah imam salam.

7) Dalam kitab "Taqrirat Sadidah" menjelaskan keuzuran-keuzuran yang dimaksudkan adalah seperti berikut:

i. Jika makmum lembab bacaannya disebabkan kekurangan diri, seperti gagap.

ii. Syak samaada sudah membaca Surah Al-Fatihah atau tidak.

iii. Makmum yang lupa membaca Surah Al-Fatihah.

iv. Makmum yang muwafiq yang menyibukkan diri dengan sunat seperti doa iftitah, tiba-tiba imam rukuk.

v. Imam tiada saktah selepas membaca Surah Al-Fatihah atau tidak membaca surah selepas Al-Fatihah dan ini menyebabkan makmum tidak sempat membacanya.

8) Perlu diingatkan, mereka yang was-was sehingga menyusahkan diri untuk menghabiskan Al-Fatihah tidak dikira sebagai keuzuran seperti di atas(No. 7). Dia dikira sebagai normal maka tidak diberi keuzuran menghabiskan Al-Fatihah selama tiga rukun yang panjang (Rujuk: al-Majmu', Imam Nawawi). Malah dia diwajibkan agar menghabiskan Al-Fatihah sebelum imam menghabiskan rukun yang kedua, jika tidak maka batal solatnya (Rujuk: Tuhfah al-Muhtaj, Imam Ibn Hajar).

9) Berlainan pula jika seseorang itu masbuq iaitu terlewat mengikuti imam iaitu tempoh yang ada tidak memungkinkan dia menghabiskan bacaan Al-Fatihah  Dalam situasi ini apabila imam sudah mula rukuk maka dia tidak wajib melengkapkan Al-Fatihah, namun hendaklah rukuk bersama-sama imam walaupun Al-Fatihah tidak sempurna kerana ini kelonggaran bagi makmum yang lewat. (Rujuk: al-Majmu', Imam Nawawi)

10) Jika dia memilih untuk menghabiskan Al-Fatihah juga sehingga melepasi dua rukun fi'li yang dilakukan oleh Imam maka batal solatnya. Ini kerana melewatkan diri untuk mengikuti imam sebanyak 2 rukun fi'li, sedangkan dia tidak diwajibkan menghabiskan Al-Fatihah.

11) Makmum yang lewat masuk jemaah tidak disunatkan membaca doa iftitah dan ta'awwuz (أعوذ بالله من الشيطان الرجيم) kerana keutamaan perlu berikan kepada yang wajib iaitu bacaan Surah Al-Fatihah  Melainkan meyakini bahawa dia berkesempatan untuk menlengkapkan Surah Al-Fatihah setelah membaca doa iftitah dan ta'awwuz.

Wallahu A'lam
Abu Ruqayyah Ba 'Alawi

No comments :

Post a Comment

Ada robot tak??? Sudi-sudikanlah tinggalkan komen

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...